Pengajaran yang Terbaik dari Israk dan Mikraj

29 June,2011
Assalamualaikum Readers,In the name of Allah, the Most Gracious, the Most Merciful

Hari ini, sekali lagi aku diuji.. Benarlah kata orang sesungguhnya ujian kesusahan lah yang akan mematangkan cara kita berfikir, mengetahui siapa sebenarnya yang akan terus berdiri menyokong kita dan mensyukuri Nikmat yang pernah Allah berikan. Kebetulan pula hari ini adalah salah satu peristiwa yang terpenting kepada Umat Islam seluruh dunia yang menyambut ketibaan peristiwa agung iaitu Israk dan Mikraj yang ada disebut dalam ayat pertama surah al-Israk . Ia bagaikan dinanti-nanti oleh pencinta agama Islam, kerana kepentingannya dalam mentarbiyah jiwa manusia ke arah kesempurnaan.

"Daripada peristiwa ini dapatlah kita mengambil pengajaran bahawa setiap ujian yang Allah bebankan kepada kita pasti akan diganti dengan penghormatan serta kemuliaan. Hanya saja kita tidak tahu bilakah kenikmatan itu akan diberi, apakah di syurga atau di dunia. "

Info Ringkas mengenai Israk dan Mikraj:
"Israk dan Mikraj adalah salah satu peristiwa penting yang berlaku pada diri baginda Rasulullah s.a.w. Berlaku pada 27 rejab tahun ke 11 kerasulan ketika Baginda berumur 52 Tahun."
Banyak  pengajaran yang boleh diambil mengenai peristiwa Israk Mikraj ini sebagai ingatan kita bersama termasuklah diriku sendiri.

Allah mengganti musibah dengan anugerah bagi sesiapa yang reda.

Sesungguhnya peristiwa Israk dan Mikraj Nabi SAW adalah musafir terbaik pernah dialami Baginda. Ia ibarat hadiah bernilai yang bermatlamatkan menghapus kesedihan demi kesedihan Rasulullah SAW selepas pemergian Abu Talib dan Khadijah.

Bukan hanya itu, tragedi keganasan dan penolakan dakwah dilakukan penduduk Taif kepada Rasulullah SAW dan Zaid bin Harithah menjadi ujian terhebat yang menumpahkan darah Nabi SAW sehingga kasut Baginda dibasahi darah.

Kemudian berlanjutan ujian dan musibah ke atas diri Rasulullah SAW seperti dilaporkan Imam Al-Bukhari dalam hadisnya: 

"Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, pernahkah engkau melalui suatu hari yang lebih dahsyat daripada peperangan Uhud? 

Rasulullah SAW bersabda: Aku pernah mengalami daripada kaummu apa yang pernah aku alami dan yang paling dahsyat ialah ketika di al-'Aqabah iaitu ketika aku menawarkan diriku kepada Ibn Abdu Yalail bin Abdu Kallal. Dia tidak menyahut ajakanku dan aku beredar dengan penuh kesedihan.Sedar-sedar aku sudah berada di Qarn Al-Tha'alib. Kemudian aku mengangkat kepalaku, tiba-tiba aku melihat segumpal awan menaungiku. Aku perhatikan lagi, tiba-tiba aku melihat Jibril dan dia menyeruku: "Sesungguhnya Allah mendengar kata-kata kaummu dan tindak balas mereka ke atasmu. Allah mengarahkan malaikat bukit supaya engkau suruh dia apa yang engkau mahu lakukan terhadap mereka. Lalu malaikat bukit itu menyeruku dan memberi salam kepadaku seraya berkata: Wahai Muhammad, apa yang kamu mahu, kalau kamu mahu aku hempaskan ke atas mereka al-Akhsyabain (dua bukit di Makkah) nescaya aku lakukan. 

Nabi SAW bersabda: Sedangkan aku mengharap supaya Allah mengeluarkan dari sulbi mereka orang yang akan menyembah Allah semata-mata, tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatu."

Daripada peristiwa ini dapatlah kita mengambil pengajaran bahawa setiap ujian yang Allah bebankan kepada kita pasti akan diganti dengan penghormatan serta kemuliaan. Hanya saja kita tidak tahu bilakah kenikmatan itu akan diberi, apakah di syurga atau di dunia.

Allah berfirman bermaksud: 

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang beriman bersamanya: Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat." 
(Surah Al-Baqarah, ayat 214)




One Response so far.

  1. fainna ma'al 'usri yusro.. sesudah kesulitan itu ada kemudahan.. (",)

Leave a Reply

Tinggalkan saya sesuatu...

Alhamdulilah